SITI NORHAIZA BT OTHMAN
GURU BESAR SK JELAI
Sebagai tirai pembuka bicara, izinkan saya memanjatkan
rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia serta keizinanNya maka saya berpeluang menulis kalam tinta melalui
blog rasmi sekolah ini. Tujuan blog ini diadakan adalah sebagai rujukan dan
menjadi panduan kepada semua warga sekolah melaksanakan tugas dan tanggungjawab
yang diamanahkan selain menjadi penghubung antara sekolah dan pihak luar.
Adalah menjadi tanggungjawab semua agar
memahami matlamat dan tujuan pendidikan di sekolah. Harapan yang tinggi
diletakkan kepada semua warga sekolah dan kakitangan agar dapat bekerja dengan
bersungguh-sungguh dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam melaksanakan visi
dan misi sekolah. Disamping dapat
memberikan sumbangan yang terbaik untuk kemajuan sekolah ini.
Fokus saya adalah memberi penumpuan kepada peningkatan
akademik murid-murid seiring dengan peningkatan sahsiah dan kerohanian.
Murid-murid perlu diberi peluang dan ruang yang seluas mungkin untuk persediaan
mereka pada masa hadapan. Perancangan pembangunan murid akan dilaksanakan
berteraskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Beberapa
inovasi baru akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan ini akan menuntut
semua guru dan kakitangan berusaha dengan lebih berdedikasi lagi.
Marilah kita berkerjasama, berganding bahu,
mengembeleng tenaga, langkah sederap dan mara sepakat untuk membangunkan
sekolah SK Jelai dan mencipta beberapa kejayaan pada tahun ini dan pada masa
akan datang. Atas kesempatan ini juga, saya merakamkan ucapan terima kasih dan
tahniah kepada Jawatankuasa ICT Sekolah atas usaha dan kerjasama yang diberikan
dalam menyediakan laman rasmi ini. Mudah-mudahan kerjasama yang diberikan dapat
mengeratkan silaturrahim antara kita.
Blog
rasmi SK Jelai ini juga melambangkan daya usaha dan kesediaan sekolah ini
untuk mengisi visi, misi dan objektif sekolah dalam menghadapi alaf baru dan
abad ke – 21 yang serba moden dan canggih. Diharapkan agar blog ini dapat
memberi banyak manfaat kepada pelawat dan masyarakat untuk mengetahui dan
mengenali sekolah ini secara lebih dekat lagi.
Selamat datang dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua pengunjung blog
rasmi sekolah ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment